Jumlah filem, program TV Malaysia ke ATF meningkat - Sinar Harian

 

SINGAPURA - Bilangan filem dan program TV berkualiti Malaysia untuk pasaran global yang dibawa ke Forum Televisyen Asia (ATF) 2012, satu daripada pasaran 'content' (kandungan) paling berjaya dunia, meningkat kepada lebih 200 berbanding tahun lepas.

Perkara itu didedahkan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Datuk Md Afendi Hamdan yang turut berkata peningkatan tersebut mengambbarkan pertumbuhan dinamik pasaran kandungan Asia.

"Kami sangat gembira tahun ini. Tahun lepas ada kira-kira 40 syarikat mengambil bahagian dan tahun ini ada 50," katanya kepada Bernama di sini, pada Khamis.

Katanya sejak Finas mengambil bahagian dalam ATF pada 2006, penyertaan daripada negara juga bertumbuh dengan jumlah program yang sedia untuk jualan dan edaran meningkat ketara.

Menurutnya kebanyakan anggota delegasi Malaysia puas hati datang ke sini kerana Singapura dekat dengan Kuala Lumpur, sekali gus tidak membabitkan kos yang tinggi untuk mereka mempamerkan produk masing-masing.

"Objektif Malaysia tahun ini ialah untuk meletakkan inovasi, kreativiti dan keusahawanan pada barisan depan rantaian bekalan kandungan multimedia dan filem global, serta menjadikan industri ini sebagai enjin pertumbuhan dan penyumbang besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar," kata Md Afendi.

Sasaran utamanya ialah untuk memanfaatkan pelaburan lampau dalam bidang selular dan rangkaian data dengan membangunkan industri menegak, katanya.

"Hasilnya akan meningkatkan keupayaan Malaysia dalam mengeluar dan menjual kandungan asli tempatan dan membangunkan kecekapan dalam perkhidmatan berkaitan kandungan untuk pasaran serantau," katanya. - Bernama

Source : Sinar Harian